Berhujung Minggu Di Aiman Batang Ai Resort And Retreat

3 Ogos 2017
Entah kenapa hari ini terasa seperti orang yang tiada semangat untuk kerja. Perasaan sangat kuat ingin pergi ke Aiman Batang Ai Resort and Retreat (ABARR). Impian yang tertangguh sejak setahun yang lepas. Kawan serumah (berasal dari Betong) selalu bercerita tentang keindahan Batang Ai. Kami ada merancang untuk pergi, tapi sampai ke hari ini masih dalam rancangan. Perlaksanaannya tidak tahu bila.

Saya buka laman web Trivago.com dan taip Aiman Batang Ai Resort dan cari. Keluar senarai harga bilik yang ditawarkan. Pada mulanya semak dari laman Agoda.com. Harga yang ditawarkan adalah RM308/semalam termasuk sarapan pagi untuk dua orang (tidak termasuk tax). Tapi makan tengah hari dan makan malam sendiri.

Kemudian buka laman Hotel.com. Harga yang ditawarkan RM400 sama seperti Agoda.com. Ya Allah, mahalnya. Sudahlah cadangnya nak pergi tengah bulan Ogos ni. Bulan Ogos pula hari lahir Mr. Q (Myvi), memang akan perlukan duit lebih. Tapi rasa nak pergi lagi kuat dari semua perkara-perkara lain.

4 Ogos 2017
Masih berusaha mencari bilik kosong dengan harga yang lebih murah. Sebab kebanyakan harga bilik adalah RM300 dan ke atas. Tak sangka, ada rezeki dapat bilik harga RM283 dari Agoda.com. Tolak RM20 promosi untuk ahli Agoda.com, tambah tax dan cas perkhidmatan jadinya RM323/semalam termasuk sarapan untuk dua orang. Setelah membuat kira-kira, dan rasanya tabung RM5 cukup untuk menampung perbelanjaan ke ABARR, terus sahaja tempah bilik tersebut untuk 12-13 Ogos 2017.

Pukul 10.30pm, kawan yang sepatutnya akan pergi bersama whatsapp bagitahu yang dia tak dapat pergi. Seriau nak mencari ‘travel partner‘ lain. Tapi tak apa, kita cuba tanya Izzah (kawan sekolah merangkap ‘travel partner‘ ke Singapura pada Oktober 2016). Katanya hari Ahad nanti baru beri keputusan.

6 Ogos 2017
Selepas menghadiri majlis persandingan kawan sekolah, saya dan Izzah duduk berbincang di Summer Mall terutamanya tentang bajet dan cara untuk ke sana nanti. Saya memang sudah bercadang untuk memandu sendiri ke sana. Perasaan yakin itu datang dari pengalaman memandu sendiri dari Kuching ke Miri pada bulan February lepas.

7 Ogos 2017
Mencari maklumat berkaitan ABARR. Sepatutnya cari maklumat dulu, baru yang lain-lain. Ini terbalik. Tidak banyak maklumat tentang ABARR dari blogger tempatan mahupun luar negara. Hanya ada dari blog sixthseal.com, itu pun dia pergi pada tahun 2008. Hampir 10 tahun yang lepas.

Pada masa tersebut, ABARR juga masih dikenali sebagai Hilton Batang Ai Longhouse Resort. Pada Januari 2016, ia telah bertukar pengurusan dari Hilton kepada Planet Borneo Lodge Management. Dan namanya juga ditukar kepada Aiman Batang Ai Resort and Retreat. Menurut sumber The Borneo Post, semua staf yang bekerja di ABARR dikekalkan walaupun pengurusan telah bertukar.

Selepas membaca penulisan di sixthseal.com, tiba-tiba perasaan cuak muncul tapi dalam masa yang sama ‘excited’. Sebabnya, ingatkan boleh memandu terus ke halaman tempat letak kereta hotel seperti di Borneo Highland Resort. Rupanya perlu menaiki bot selama 20-30 minit. Selain itu, saya juga mendapat maklumat tentang makanan yang disediakan di sana. Kalau ala cart berharga dalam lingkungan RM20/makanan masih boleh dipertimbangkan.

11 Ogos 2017
Jasad masih di pejabat, tetapi minda dan perasaan sudah berada di ABARR. Tepat jam 5.30pm terus keluar pejabat dan bertolak ke Kuching untuk menjemput Izah di Satok sebelum kami bergerak ke Serian (rumah Izah) dan bermalam di sana. Pemandangan di sepanjang perjalanan saya petang itu sangat cantik. Siap ada pelangi!

Merenung ke luar jendela
Perjalanan dari Sematan ditemani sang pelangi senja
Matahari terbenam di Feri Rambungan

Tiba di Satok dalam pukul 7.30pm selepas mengisi penuh petrol. Kami singgah makan malam di Pasar Malam Batu 7. Ini kali pertama saya ke sana. Selesai makan, singgah membeli bekalan makanan ringan. Tiba di Serian sekitar jam 10.00pm. Mandi dan rehat.

12 Ogos 2017
Kami bertolak dari Serian pada jam 7.00am dan tiba di Lubok Antu pada jam 10.00am. Singgah sarapan pagi sebelum bertolak je jeti resort. Saya makan nasi goreng. Tujuannya adalah untuk menjimatkan kos makan tengah hari dan supaya tidak terlalu lapar apabila tiba di resort nanti. Sebabnya kami tidak bercadang untuk makan tengah hari di sana. Harga untuk nasi goreng+ayam masak merah+air teh tarik panas adalah RM7.50

Bismillah. Semoga selamat dalam perjalanan
Alhamdulillah, selepas 3 jam perjalanan

Nasi goreng

Selesai makan dan pusing-pusing pekan Lubok Antu, kami terus menuju ke jeti untuk ke ABARR. Jalan menuju ke jeti perlu memandu mendaki bukit. Kami tiba di jeti pada jam 11.45am dan tak ada seorang pun pelancong selain pekerja hotel. Kami dimaklumkan oleh staf yang berada di situ bot akan sampai pada jam 12.45pm. Maknanya kami perlu menunggu selama sejam.

Perjalanan menuju ke jeti
Empangan

Kalau duduk-duduk menunggu di tempat lain selama sejam, pasti sudah seperti cacing kepanasan. Tapi di sini, kami menikmati pemandangan tasik yang airnya menghijau. Kalau langit biru, pasti lebih cantik. Saya berharap semoga petang nanti dapat menikmati pemandangan matahari terbenam.

Hampir 12.45pm, seperti yang dijanjikan bot tiba. Sepuluh minit sebelumnya, ada sebuah keluarga dari France seramai 4 orang sampai. Dan ada beberapa orang tempatan. Mendengar dari perbualan mereka, mereka datang untuk mengambil/membeli ikan talapia. Lubok Antu memang terkenal sebagai pembekal ikan talapia.

Bot mula bergerak dari jeti pada jam 12.50pm. Perjalanan dari jeti mengambil masa selama 20 minit. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan keindahan gunung ganang, hutan yang hijau dan tebal dan air tasik yang menghijau. Terdapat juga ranting-ranting kayu yang terkeluar dari permukasn air.

Pada mulanya cuaca agak berawan, setibanya kami di ABARR mentari memunculkan dirinya. Kami disambut dengan cahaya mentari yang terik dan staf ABARR juga sudah sedia menanti di sana. Jika anda membawa beg yang besar dan berat, tak perlu risau kerana staf akan membantu ada membawa beg tersebut naik ke bilik.

Setibanya di lobby, kami disajikan dengan ‘welcome drink’. Sangat lega rasanya dapat membasahkan tekak selepas ‘mendaki’ dari jeti ke lobby. Semasa sedang berehat sambil menikmati air yang dihidangkan, kami disapa oleh seorang staf yang ramah. Dia menerangkan serba sedikit tentang aktiviti yang boleh dilakukan di sini.

Welcome drink

Setelah hilang rasa letih, barulah kami dihantar menuju ke bilik. Kami ditempatkan di bilik 513. Sebaik sahaja pintu dibuka, Ya Allah berbaloinya bayar harga bilik tu. Biliknya sangat luas, cantik dan selesa. Disebabkan resort ini konsepnya adalah rumah panjang, jadi terdapat ruai. Juga ada balkoni, desediakan sekali dengan kerusi untuk duduk sambil menikmati keindahan tasik.

Bilik tidur

Ruai
balkoni

Sementara menunggu jam 4.45pm untuk aktiviti ‘canopy wall’ kami berdua hanya berehat-rehat di bilik. Pada jam 3.00pm barulah keluar berjalan-jalan di sekeliling resort. Tepat jam 4.45pm, tetamu yang sudah mendaftar untuk ‘canopy walk’ berkumpul di hadapan kolam renang. Staf yang menegur kami semasa tiba tadi akan menjadi ‘guide’ untuk ‘canopy walk’.

Nanga Mepi Restoran

Warung Irup (Bar)
Beranda yang menghadap kolam renang

Sebelum perjalanan dimulakan, Ms. Ramona memperkenalkan dirinya dan bertanya negara asal setiap peserta. Beliau juga memberi keterangan ringkas tentang ‘canopy walk’. Kebanyakan adalah pelancong asing dan mereka berkeluarga. Local hanya saya seorang sebab Izah gayat.

Setelah taklimat ringkas dan sesi perkenalan selesai, kami memulakan perjalanan. Terdapat beberapa point Ms Ramona akan berhenti dan memberikan penerangan tentang tumbuh-tumbuhan, sejarah resort, tip untuk ‘survive’ dalam hutan dan banyak lagi.

Untuk sampai ke ‘canopy walk’ perlu mendaki bukit. Saya yang tidak bersedia untuk ‘hiking’ merasa terkejut. Sebabnya ingatkan ‘canopy walk’ hanya laluan gantung yang melalui pokok seperti yang terdapat di Sky Trex Shah Alam. Tapi nasib baik bukit yang perlu didaki tidaklah tinggi. Walaubagaimanapun, memang berpeluh juga.

Kami tiba di puncak, di mana di situ terdapat sebuah kubur lama yang dipercayai adalah kubur pahlawan zaman dahulu. Ms Ramona juga bercerita tentang ritual yang dilakukan di kubur tersebut. Katanya ritual itu masih dilakukan sehingga hari ini. Selepas menerangkan tentang kubur itu, kami meneruskan perjalanan menuju ke ‘canopy walk’. Sebenarnya saya tidak dapat membayangkan 50m itu setinggi mana. Apabila sampai di situ, barulah tahu yang sebenarnya 50m itu adalah tinggi.

‘Canopy walk’ itu sepanjang 130m dan tergantung 50m dari aras tanah. Di tengah-tengah jambatan nanti kita akan dapat melihat pemandangan tasik. Sebelah kanan adalah banjaran yang memisahkan Malaysia dan Indonesia. Manakala sebelah kiri pula adalah pemandangan tasik.

Setelah semua selamat melintasi ‘canopy walk’ kami meneruskan perjalanan untuk balik. Setibanya di penghujung track, terdapat sebuah jambatan buluh. Di kawasan tersebut juga terdapat tanam-tanaman. Sekitar jam 6.10pm kami bergegas turun supaya tidak terlepas untuk menikmati keindahan matahari terbenam. Setelah puas menikmati keindahan matahari terbenam, kami masuk ke bilik dan bersiap untuk makan malam.

Jam 8.00pm kami pergi ke Nanga Mepi Restoran untuk makan malam. Semasa mendaftar masuk tengah hari tadi saya ada bertanya dengan staf yang bertugas berapa harga buffet. Katanya RM80/seorang. Saya juga bertanya adakah mereka menyediakan ala’ cart? Katanya ada dan harga untuk ala’ cart bermula serendah RM15/hidangan.

Setelah duduk, kami disapa oleh seorang staf. Saya meminta menu untuk ala’ cart. Disebabkan makan nasi terlalu awal, ditambah lagi dengan mendaki untuk ‘canopy walk’ saya memang terasa sangat lapar dan memerlukan nasi. Saya memilih Lubok Antu Lulun dan jus lobak merah manakala Izah memilih nasi goreng dan jus nanas. Pada mulanya saya ingin memesan jus mangga tetapi membatalkan hasrat apabila mengetahui ianya bukan dari buah segar. Dan saya menyesal!

Setelah kenyang menikmati makan malam, kami balik ke bilik semula. Suhu di situ sangat sejuk. Walaupun penghawa dingin sudah ditutup, tetap terasa menggigil. Izah yang berbaju sejuk itu pun masih terasa sejuk, apatah lagi kalau hanya berselimut.

Malam ini juga katanya ada meteor. Saya sangat berharap dapat melihat meteor di sini. Sebenarnya saya tertidur sementara menunggu. Nasib baik tersedar tepat pukul 1.00am. Tetapi memang tiada rezeki untuk melihat meteor sebab langit berawan. Saya masuk ke bilik dan menyambung tidur.

13 Ogos 2017
Pagi ini hujan. Tiada rezeki untuk melihat matahari terbit. Jam 7.30am kami keluar untuk sarapan. Kami adalah yang pertama. Pasti mereka yang lain masih sedang sedap lena diulit mimpi.

Semasa sedang mengambil makanan, saya ternampak Ms Ramona. Saya bertanya, di mana boleh membeli ikan talapia. Dia memberitahu ada satu kawasan di mana boleh membeli ikan tersebut. Katanya lagi, di situ juga ada jambatan gantung dan kita boleh menikmati pemandangan tasik.

Setelah selesai sarapan sebelum balik ke bilik, saya ke kaunter untuk bertanya jadual bot. Sementara masih awal, kami duduk di balkoni sambil melihat bot-bot yang datang untuk membawa mereka yang menyertai aktiviti ke rumah panjang. Hujan masih turun renyai-renyai.

Jam 9.00am kami mula bersiap untuk daftar keluar. Lebih kurang 50 minit, siap dan bersedia untuk memulangkan kunci. Setibanya di lobi, mereka memberitahu bot jam 10.00am sudah menunggu. Saya cepat-cepat pergi ke kaunter untuk daftar keluar. Tapi mereka akan memaklumkan juga kepada pemandu bot supaya menunggu sebentar.

Selesai pendaftaran keluar, kami terus menuju ke jeti untuk menaiki bot. Bot hari ini lebih kecil dari yang semalam. Kami tiba di jeti pada jam 10.20am. Sempat bergambar walaupun hujan.

Kami menuju ke kawasan yang diberitahu oleh Ms Ramona. Untuk ke kawasan tersebut perlu memandu mendaki bukit. Kami meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta yang disediakan dan berjalan kaki menuju ke jambatan gantung.

Izah gayat, tapi saya pujuk jugak supaya dia melintasi jambatan tersebut. Pemandangan di situ sangat cantik. Kami dapat melihat sangkar-sangkar ikan talapia. Di situ merupakan jeti untuk penduduk tempatan mengambil bot untuk pulang ke rumah panjang masing-masing.

Kami berada di situ hampir satu jam sebelum meruskan perjalanan ke Kubu Alice di Sri Aman. Melawat ke Kubu Alice merupakan salah satu aktiviti yang disediakan oleh ABARR. Bayaran yang dikenakan adalah RM90/seorang termasuk pengangkutan untuk pergi dan balik ke resort, air minuman dan makan tengah hari.

Oleh kerana kami memandu sendiri, jadi kami boleh jimat di situ. Tiba di Kubu Alice sekitar jam 1.00pm. Di bahagian atas dalam kubu tersebut terdapat sejarah Sri Aman, contoh susun atur pejabat dan bilik kediaman pemerintah, barang-barang lama yang dijumpai semasa mereka proses pembinaan semula Kubu Alice dan macam-macam lagi. Di bahagian bawah pula terdapat sampan dan meriam.

Dari Kubu Alice, kami meneruskan perjalanan pulang ke Serian. Tapi sebelum itu, singgah sebentar di Mount Hosanna Chapel. Ingatkan dapat naik ke atas, tapi kunci. Jadinya, kami hanya bergambar dari bawah sahaja. Selepas bergambar kami meneruskan perjalanan dan singgah sebentar di Lacau. Pada mulanya saya tidak berhasrat untuk singgah, tapi Izah memberitahu di situ ada menjual terung asam murah. Jadinya kami singgah.

Bukan hanya terung asam yang dibeli, siap dengan beras Bario dua jenis, salai udang dan dua jenis ikan masin. Semasa di situ juga saya ternampak mereka menjual pakaian tradisional Iban. Baru tersedar kenapalah semasa di Pasar Lubok Antu saya tidak ingat hendak mencari pakaian tersebut. Kalau perasaan dan hati sudah ke ABARR, memang tidak ingat apa-apa lagi. Setelah siap membeli belah, kami meneruskan perjalanan ke Serian.

Kami tiba di Serian sekitar jam 4.30pm. Berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan balik ke Kuching. Kami bertolak dari Serian pada jam 6.00pm tiba di Satok pada jam 7.30pm. Selepas menghantar Izah, saya meneruskan perjalanan pulang ke Kampung Bako. Tiba di rumah pada pukul 8.30pm. Mandi dan rehat. Perjalanan hujung minggu yang sangat berbaloi.

 

Nota:
1) Selain ‘canopy walk’, terdapat juga aktiviti lain yang ditawarkan. Senarai aktiviti dan harga untuk setiap aktiviti boleh disemak di sini.
2) Menurut Ms Ramona, akan datang terdapat beberapa aktiviti baru yang akan disediakan. Yang pasti, ia sangat menarik.
3) Gambar lain akan dimuat naik dari masa ke semasa. Selain itu boleh juga lihat gambar di Instagram saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *